lipur lara

Jika diikutkan dengan edaran zaman sekarang, cepat seseorang itu naik maka cepatlah dia turun. Jika segera seseorang itu terjulang maka segeralah dia tenggelam. Andai kita mampu bangkit dengan serta-merta, berwaspadalah kerana kelak mungkin anda akan terjunam ke bawah. Jika sudah berada di atas, janganlah sesekali melupakan kaki yang masih berpijak di bumi.
Andai lumpur yang keruh itu perlu kita lalui, tenanglah mengharunginya sekiranya di depan sana terbentang ombak pantai yang melambai. Harungilah dengan kuat dan cekal dan janganlah sesekali berhenti kerana keraguan yang sebentar itu bakal melemaskan kita dalam lumpur hina kehidupan. Bukanlah sengaja ingin menakut-nakutkan dengan semua kiasan ini, ia hanyalah sebagai tonggak arah hati dan langkah tuju kita. Andai kita tersilap membuat pilihan dan keputusan, kita terpaksa menyelak onak duri itu dengan jemari sendiri walaupun pedihnya terasa seperti tertoreh pisau. Namun pilihan yang ada hanyalah menghadapi segala permasalahan yang mendabik dada di hadapan kita.